Sejarah Penubuhan

Sejarah Penubuhan

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Segala puji-pujian selayaknya buat Allah S.W.T, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, sekalian ahli keluarga baginda maka Madrasah Al Aminiah mula ditubuhkan pada tahun 1982 oleh Allahyarham Tuan Haji Zabidi bin Haji Mohd Ali. Pada mula nya Madrasah hanya menjalankan kelas tadika untuk kanak-kanak berumur 6 tahun bertempat di Dewan Haji Zabidi. Pada Ogos 1990, Allahyarham Tuan Haji Zabidi bin Haji Mohd Ali telah kembali ke rahmatullah pada usia 78 tahun, namun hasil usaha beliau tidak berhenti setakat itu sahaja. Usaha ini disambung oleh adik beliau sendiri iaitu Tuan Haji Kassin bin Haji Mohd Ali. Pada 01 Oktober 1990, Madrasah Al Aminiah diwujudkan dan di daftarkan sebagai sekolah agama rakyat.

Bagi memperkasakan pentadbiran Madrasah Al Aminiah pihak jawatankuasa sekolah sebulat suara melantik Tn.Hj. Azamuddin bin Alang Hamzah sebagai Mudir atau Pengetua di Madrasah Al Aminiah Induk, Permatang Nibong yang ditadbir sehingga kini. Pada tahun 1992 dengan izin Allah S.W.T Madrasah Al Aminiah Induk berpindah ke tapak sekolah yang lebih sempurna bertempat di Jalan Permatang Nibong.

Bagi mengembangkan lagi usaha dakwah ini dengan lebih teratur dan tersusun, pada tanggal 05hb April 2015 bertempat di Madrasah Al Aminiah Permatang Nibong Jawatankuasa Pengurusan Madrasah Al Aminiah Permatang Nibong sebulat suara telah bersetuju untuk menubuhkan satu cawangan Madrasah Al Aminiah di kawasan Bertam Putra, Kepala Batas, Pulau Pinang. Perbincangan bersama Jawatankuasa Pengurusan Madrasah Al Aminiah Permatang Nibong dengan ini melantik Jawatankuasa Pengurusan Madrasah Al Aminiah Cawangan Bertam pada 10hb Jun 2015 bertempat di Pejabat Urusan Pusat Tahfiz Baitul Ummi, No.29 Persiaran Seksyen 4/5 Bandar Putra Bertam Kepala Batas, Pulau Pinang, secara rasminya sebagai jawatankuasa baru untuk Madrasah Al Aminiah Cawangan Bertam (MACB).

Jawatankuasa baru MACB sebulat suara bersetuju melantik Ustaz Mohd Fazrol Hakimi bin Md Radzi sebagai Mudir MACB dengan rasminya. Dengan penubuhan Cawangan Madrasah Al Aminiah di Bertam Kepala Batas Pulau Pinang ini, maka sebuah pusat pembelajaran dalam melahirkan ramainya cendiakawan profesional Islam dapat di teruskan lagi di kawasan Bandar Putra Bertam dan kawasan sekitarnya. Semoga hasil usaha ini dapat meneruskan perjuangan Nabi Muhammad SAW dalam usaha menyampaikan ilmu islam kepada masyarakat khususnya masyarakat di Malaysia ini.